Hari Kiamat
Hari Kiamat merupakan Hari Pengakhiran bagi semua makhluk di atas
muka bumi ini. Hari kiamat merupakan hari di mana semua manusia
dihimpunkan dari seawal-awal kelahiran iaitu manusia semenjak zaman
Nabi Adam dan Hawa hinggalah kepada manusia yang paling akhir sekali
dijadikan dan dimatikan oleh Allah. Pada hari itu juga manusia dihisab
amalannya, Hari Kiamat adalah sesuatu perkara yang benar sebagaimana
benarnya bahawa setiap manusia akan mati. Al-Quran banyak menyebut
tentang Kiamat itu sebagaimana yang disebut dalam surah al-Hajj:7
bermaksud: “Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan datang, tidak ada keraguan padanya…”
Dalam ayat lain Allah berfirman: “Dan tidaklah kami ciptakan
langit dan bumi serta apa yang ada pada keduanya, melainkan dengan
benar, dan sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang, maka maafkanlah
mereka dengan cara yang baik” (al-Hijr:85)
Remaja semua, mari kita fikir sejenak tentang tanda-tanda kecil
menunjukkan hampirnya kiamat berdasarkan hadits sahih Nabi s.a.w dengan
melihat realiti hidup kita serta kejadian berlaku pada manusia
ketika ini.
Antara Tanda-Tanda Kecil Kiamat Berdasarkan Hadits:
Penaklukan Baitulmaqdis
Dari Auf b Malik r.a katanya, “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Aku menghitung enam perkara menjelang Hari kiamat. “Baginda menyebutkan salah satu diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” (Sahih Bukhari)Zina Berleluasa
“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang sesuka hatinya
melakukan persetubuhan seperti keldai. Maka pada zaman mereka inilah
kiamat akan datang” (Sahih Muslim)
Alat-Alat Muzik Menjadi kebanggaan dan digilai
Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan pada muka. Ada
yang bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah bila hal itu
terjadi?” Baginda menjawab: “Apabila telah bermaharajalela muzik
(bunyi-bunyian) dan ramainya penyanyi-penyanyi wanita” ( HR Ibnu Majah)
Menghias Masjid dan Membanggakannya
“Diantara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megah dalam mendirikan masjid” ( H.R Nasai)
Munculnya kekejian, Memutuskan Persaudaraan dan Bersikap Buruk Dengan Jiran
“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan
perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan bersikap yang
buruk dengan jiran” (H.R Ahmad dan Hakim)
Ramai Orang Soleh Meninggal Dunia
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil
orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang
tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak
mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran” ( H.R Ahmad)
Orang Hina Mendapat Kedudukan Terhormat
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan
dikuasai oleh Luka’ bin Luka’ (orang yang bodoh dan hina). Maka Orang
yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh
dua orang mulia” (H.R Thabrani)
Mengucapkan salam Kepada Orang Yang Dikenali Sahaja
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat
ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali
yang dikenalinya sahaja.” (H.R Ahmad)
Ramai Wanita Berpakaian Tetapi hakikatnya telanjang
Diriwayatkan dari Abu Huraira r.a “Di antara tanda-tanda
telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita
dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”
Bulan Sabit Kelihatan Besar
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah membesarnya bulan sabit.” (H.R Thabrani)
Banyak Dusta dan Tidak Tepat dalam menyampaikan Berita
“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang
datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu
dengar dan belum pernah didengar oleh ibu bapa kamu sebelumnya, kerana
itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan
memfitnahmu.” ( Sahih Muslim)
Banyak Saksi Palsu dan Menyimpan Kesaksian Yang Benar
“Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar.” (Riwayat Ahmad)
Negara Arab menjadi Padang Rumput dan Sungai
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai.” (Sahih Muslim)
Demikianlah sebahagian daripada tanda-tanda kecil akan berlakunya
hari kiamat. Marilah kita renungkan sejenak untuk menjadi panduan
hidup. Hidup kita hanya sebentar sahaja di muka bumi ini, seharusnya
hidup yang singkat ini kita isi dengan sesuatu yang berfaedah sama ada
untuk diri sendiri, agama, bangsa mahupun negara. Andai kita seorang
remaja, jadilah remaja yang bijak, baik hati, ingat Tuhan dan berbakti.